Mengapa Allah Menjadikan kita
sebagai Khalifah di Muka Bumi
Mengapa Allah Menjadikan kita sebagai Khalifah
di Muka Bumi : Tentang Penciptaan Manusia
"...(Allah) yang
mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang
mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan
apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)." - Surah
Al-Baqarah: Ayat 255
Manusia adalah makhluk
ciptaan Allah yang Maha Agung. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, manusia
ialah makhluk yang mempunyai akal budi.
Jika diperincikan lagi
maksudnya, akal daripada aspek manusia bermaksud dapat berfikir, manakala budi
pula bermaksud kebijaksanaan.
Jadi bolehlah
dirumuskan secara ringkas dan umum daripada segi bahasa, bahawa manusia itu
adalah makhluk yang dapat berfikir dengan bijaksana.
Penciptaan Manusia
Dalam Al-Quran telah
diterangkan mengenai asal penciptaan manusia yang bermula daripada tanah (Nabi
Adam a.s.) kemudian seterusnya seperti mana firman Allah s.w.t.:
"Dan sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia daripada suatu sari pati (berasal) daripada
tanah. Kemudian Kami jadikan sari pati itu air mani (yang disimpan) dalam
tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah,
lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu
Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan
daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha
Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik." -Surah
Al-Mu'minun: Ayat 12-14
Perlu diingat bahawa
asal penciptaan manusia di dalam Al-Quran bukanlah sebuah teori atau
sangka-sangka manusia.
Ini adalah hakikat
penciptaan manusia yang sebenar oleh Allah yang Maha Pencipta dengan
sebaik-baik ciptaan-Nya.
Malahan Allah yang
Maha Agung juga mampu mencipta sesuatu yang lebih baik dari manusia.
"Sesungguhnya
penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui." - Surah Al-Mu'min:
Ayat 57
Maka mengapa manusia
perlu sombong? Sombong dalam segala
aspek kehidupan, daripada segi
hartanya, keluarganya,
pangkat dan kekuasaannya dan ilmunya.
Yang membuat segala
sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia
daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada saripati air yang
hina. Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya
dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu
sedikit sekali bersyukur." - Surah As-Sajadah: Ayat
7-9
Sekiranya manusia
merasakan dirinya hebat dengan adanya pangkat dan kekuasaan, silaperhatikan
daripada apa ia diciptakan?
Bukankah sperma
melalui zakar yang berkongsi dengan air kencing?
Manusia berkongsi
tempat dengan saluran najis kencing, hinakah manusia?
Tidak kira siapa pun
juga, Presiden Amerika, Russia, China mahupun Sultan, Perdana Menteri hatta
para Nabi a.s. sekalipun melalui proses yang sama kecuali Nabi Adam a.s., Hawa
dan Nabi Isa a.s.
Akan tetapi, Allah
yang Maha Agung telah mengangkat manusia menjadi makhluk yang mulia dan memberi
gelaran yang terbaik. Pangkat yang terbaik dan mengatasi segala gelaran atau
pangkat yang diberikan oleh manusia.
Pangkat dan gelaran
terbaik itu selain para Nabi dan Rasul, adalah Muslim dan kemuliaan yang paling
mulia adalah manusia yang paling bertakwa di sisi Allah yang Maha Agung.
Perlu diingat, manusia
tidak dapat mengatasi ketakwaan para Nabi dan Rasul kerana mereka adalah
maksum.
"...Sesungguhnya
orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling
takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mengenal." -Al-Hujuraat: Ayat 13
Tujuan Manusia
Diciptakan
Pengasas (HPA) Herba Penawar Al-Wahida: Tuan Hj.Ismail
"Ingatlah ketika
Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan
seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan
(khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan
darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan
Engkau. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu
ketahui." - Surah Al-Baqarah: Ayat 30
Dalam ayat di atas
diterangkan tujuan manusia diciptakan adalah untuk dijadikan khalifah
di muka bumi.
Dalam tafsir Ibn
Katsir, ayat "menjadikan seorang khalifah" bukan sahaja bermaksud
untuk melantik pemimpin dalam kalangan manusia, malahan Allah berkehendak
melantik para Nabi dan Rasul.
Selain itu, Allah juga
berkehendak menjadikan di antara manusia itu para syuhada, orang-orang soleh,
wali-wali, ulama-ulama dan secara umumnya orang yang mencintai Allah serta
orang-orang yang mengikuti para rasul-Nya.
Apa yang paling utama
adalah Allah yang Maha Penyayang mahu memberi kenikmatan syurga kepada hamba-Nya
yang ingin menikmati syurga.
Jadi, adakah kita
benar-benar menepati tujuan kita diciptakan?
Adakah kita
benar-benar mencintai Allah yang Maha Agung dan mengikuti apa yang diajarkan
oleh Rasulullah s.a.w.?
Adakah kita benar-benar
mahukan nikmat syurga?
"Dan Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." -Surah
Adz-Dzariyat: Ayat 56
Dalam ayat di atas,
Allah secara jelas menerangkan tujuan penciptaan jin dan manusia, iaitu untuk
menyembah-Nya. Tidak boleh dipersoalkan lagi.
Mengikut Ibn Abas
r.a., tidak diciptakan mereka (jin dan manusia) itu, kecuali untuk tunduk
(patuh) beribadah kepada Allah secara sukarela atau terpaksa.
Dalam tafsir Ibn
Katsir juga menerangkan sedemikian dan ditambah, manusia disuruh beribadah
kepada-Nya dan bukan kerana Aku (Allah yang Maha Tinggi) memerlukan
mereka (manusia).
Jadi, adakah kita
benar-benar memerlukan Allah atau kita memerlukan selain-Nya?
Adakah kita lebih
memerlukan pangkat, harta dan segala jenis keindahan di dunia melebihi rahmat
dan penjagaan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?
"Apakah manusia
mengira, bahawa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggungjawaban)?" - Surah
Al-Qiyaamah : Ayat 36
"Sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur, yang Kami
hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia
mendengar dan melihat." - Surah Al-Insaan: Ayat 2
Manusia diberi ujian
berupa tanggungjawab melaksanakan perintah dan menjauhi larangan di bumi
sebelum diadili di akhirat, iaitu penentu sama ada masuk syurga atau neraka.
"Maka apakah kamu
mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan
bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" - Surah
Al-Mu'minuun: Ayat 115
Penciptaan Anggota
Badan
"Yang telah
menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan
tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun
tubuhmu." - Surah Al-Infithaar: Ayat 7-8
Allah yang Maha
Penyayang telah menciptakan manusia dengan tubuh badan yang sempurna, seimbang
dan rupa yang menarik.
Malah keupayaan
berfikir otak termasuk bahasa dan percakapan juga telah sempurna semenjak
penciptaan Nabi Adam a.s.
"Sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." -Surah
Al-Tin: Ayat 4
Anggota badan telah
diletakkan sesuai pada tempatnya dan mudah digunakan. Jari-jari yang fleksibel,
mata yang dilengkapi alis mata dan semua penciptaan asal dari Allah telah
sempurna dan sesuai pada tempatnya.
Samakah penciptaan
anggota tiruan manusia dengan penciptaan original oleh Allah yang Maha Agung?
1. Manakah yang lebih baik antara tangan tiruan
ciptaan manusia dengan tangan original ciptaan Allah? Jawapan: Tentulah yang
original.
2. Manakah yang lebih baik antara kaki tiruan
ciptaan manusia dengan kaki original ciptaan Allah? Jawapan: Tentulah yang
original.
3. Manakah yang lebih baik antara pendengaran
(telinga) dan penglihatan (mata) tiruan ciptaan manusia dengan mata dan telinga
original ciptaan Allah? Jawapan: Tentulah yang original.
4. Manakah yang lebih baik antara hukum tiruan
ciptaan manusia dengan hukum original (Al-Quran) ciptaan Allah? Jawapan:
Jawablah dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Nikmat manakah yang hendak kita
dustakan lagi?
Persoalan
Antara Sifat-Sifat Semula jadi Manusia
01.Mengakui Kewujudan Tuhan
Semua manusia telah
diciptakan oleh Allah berada dalam keadaan mengakui akan kewujudan yang Maha
Berkuasa atas segala sesuatu sama ada secara sedar atau tidak.
"Maka hadapkanlah
wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang
telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah
Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui..." - Surah Ar-Ruum: Ayat 30
Disebabkan oleh
manusia sudah fitrahnya (fitrah disini bermaksud pembawaan atau sifat-sifat
semulajadi) mengakui akan kewujudan Tuhan, maka manusia perlu mencari bagaimana
memohon (mengadu nasib, melepaskan diri dari kesulitan dan sebagainya) kepada
Tuhan.
Maka diutuskan para
Rasul untuk memberi penjelasan kepada manusia mengenai Tuhan yang wajib
disembah dan sebenar-benar tempat bermohon, iaitu hanya menyembah Allah
yang Maha Esa dan tidak mensyirikkannya (agama tauhid).
Oleh sebab itu,
wajiblah bagi manusia untuk menuntut ilmu. Ilmu yang diajarkan oleh
para Nabi dan Rasul supaya tetap di jalan agama Allah yang lurus dan
tidak terjerumus dalam kesyirikan dan melanggar fitrah yang ditetapkan oleh
Allah yang Maha Agung.
Perumpamaannya,
seperti fitrah bumi dan bulan yang beredar dalam orbitnya.
Andai kata bumi dan
bulan melanggar sifat semulajadinya, pasti hancur keduanya berlanggar sesama
sendiri.
Begitu juga manusia,
jika melanggar fitrahnya, maka porak perandalah sistem kehidupan.
02.Dorongan Fisiologi
Dorongan fisiologi
disini bermaksud pentadbiran sistem badan tanpa sedar atau tanpa perlu berfikir
dan tanpa kehendak. Ini adalah salah satu nikmat terbesar daripada Allah dan
sangat diperlukan oleh manusia untuk meneruskan kehidupan dan mengembangkan
populasi manusia di muka bumi.
Sesungguhnya Allah
Maha Teliti ciptaan-Nya.
"Musa berkata:
Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk
kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk." - Surah
Thaahaa: Ayat 50
a. Contohnya,
perjalanan sperma, jantung yang berdegup, kefungsian buah pinggang, kelenjar
pituitari, sistem pernafasan dan pelbagai lagi nikmat yang dikurniakan kepada
manusia secara semulajadi tanpa manusia perlu berfikir untuk melakukan itu
semua.
Persoalannya, berapa
ramaikah di antara manusia pernah bersyukur akan nikmat jantung, buah
pinggang, hormon dan pelbagai lagi nikmat-Nya?
Pernahkah walau sekali
ketika selepas solat kita berdoa agar Allah yang Maha Penyayang mengekalkan
nikmat mata yang berkelip, jantung yang berdegup atau sekurang-kurangnya
mengucapkan syukur atas nikmat yang tidak terhingga ini?
b. Termasuk dalam
dorongan fisiologi adalah nafsu. Nafsu bermaksud dorongan hati atau keinginan
yang kuat. Kadangkala kita juga memerlukan kehendak, contohnya apabila lapar,
perut perlu diisi. Maksudnya kita tidak perlu berfikir samada perlu lapar atau
tidak. Ia berlaku secara semulajadi.
"(Nabi Yusuf a.s
berkata) Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya
nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat
oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." -Surah
Yusuf: Ayat 53
Ini bermaksud nafsu
itu adalah rahmat dan nikmat kepada manusia, tetapi dorongan hati yang kuat
untuk melakukan kemaksiatanlah antara punca kejahatan dan ia dipanggil hawa
nafsu.
Apa yang paling
penting adalah, manusia perlu mengenal dan memahami perbezaan nafsu dan hawa
nafsu dan bukan memeranginya, tetapi mengendalikannya kerana ia sebahagian
daripada fitrah manusia.
Bagaimana mungkin kita
memerangi fitrah Allah yang Maha Pencipta segala sesuatu?
Ciptaan Allah yang
Maha Agung adalah sempurna dan tiada kekurangan sebesar zarah sekalipun;
mahupun yang lebih kecil daripada itu. Setelah menciptakan, Dia tidak pula
membiarkannya begitu sahaja seperti di dalam ayat di bawah:
"Demi matahari
dan cahayanya di pagi hari, dan bulan apabila mengiringinya, dan siang apabila
menampakkannya, dan malam apabila menutupinya (gelap-gelita) dan langit serta
pembinaannya, dan bumi serta penghamparannya, dan jiwa serta penyempurnaannya
(ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan
ketakwaannya." - Surah Asy-Syams: Ayat 1-10
Oleh sebab manusia
diberikan nafsu, maka diilhamkan kepada manusia jalan kefasikan dan ketakwaan.
Maksudnya dalam tafsir Ibn Katsir adalah 'diberi kefahaman kepada manusia
mengenai jalan kebaikan dan keburukan'.
Jadi, manusialah
yang memilih mahu berbuat kebaikan atau keburukan berdasarkan tahap
pengendalian nafsunya.
Sumpah Allah yang Maha
Agung dalam ayat di atas dimulakan dengan penciptaan yang lebih besar daripada
penciptaan manusia, iaitu penciptaan alam semesta serta penciptaan langit dan
bumi serta memberi peringatan kepada manusia bahawa segala
sesuatu adalah ciptaan Allah yang Maha Agung termasuk jalan kefasikan dan
ketakwaan.
Sila perhatikan akhir
Surah Asy-Syams bagaimana orang yang cenderung mengikut hawa nafsu mengakhiri
hidupnya.
03.Dorongan Kerohanian atau Spiritual
"Dan perumpamaan
orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk
keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi
yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali
lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai).
Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat." - Surah
Al-Baqarah: Ayat 265
Manusia fitrahnya
menyukai kebaikan, ketenteraman, rasa kasih sayang, hatta penganiaya, perompak
atau orang yang zalim seumpamanya juga mahukan kebaikan, kasih sayang dan
suasana yang harmoni.
Contohnya, seorang
pencuri akan berasa marah bila barangannya sendiri dicuri atau peragut juga
akan berasa marah jika dia sendiri diragut serta penjajah juga akan berasa
marah bila negaranya sendiri dijajah. Ini adalah fitrah manusia yang sentiasa
inginkan kebaikan.
Dalam Surah
Al-Baqarah, ayat 265 di atas diterangkan, manusia yang membelanjakan hartanya
di jalan Allah yang Maha Agung dan benar-benar yakin akan pahala amal
perbuatannya itu (Rujukan Ibn Katsir).
Daripada aspek lain,
manusia berusaha memenuhkan atau memuaskan keperluan rohaninya dengan cara
berbuat perkara-perkara kebaikan.
Persoalannya, jika
manusia secara semulajadi inginkan kebaikan, mengapa ramai manusia yang berbuat
kejahatan? Apakah yang memperdayakan manusia sehingga derhaka kepada
Allah yang Maha Tinggi?
Jawapan : Ini
disebabkan manusia terpedaya dengan hasutan syaitan yang
memang membenci dan bersumpah untuk menyesatkan semua manusia. Manusia juga
gagal melawan hasutan syaitan kerana kegagalan mengendali hawa nafsunya dan
kegagalan mengendali hawa nafsu pula disebabkan tiada ilmu
Antara Sikap dan
Perangai Manusia
1. Tergesa-gesa
"Manusia telah
dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perIihatkan kepadamu
tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan
segera." - Surah Al-Anbiyaa': Ayat 37
Manusia bersifat
tergesa-gesa dalam pelbagai urusan harian termasuk juga dalam hal keagamaan.
Contohnya dalam berdoa, solat dan lain-lain.
2. Berselisih Pendapat
"Manusia
dahulunya hanyalah satu umat, kemudian mereka berselisih. Kalau tidaklah kerana
suatu ketetapan yang telah ada dari Tuhanmu dahulu, pastilah telah diberi
keputusan di antara mereka, tentang apa yang mereka perselisihkan itu."
- Surah Yunus: Ayat 19
Berselisih pendapat
dan kepelbagaian pendapat mempunyai maksud yang berbeza.
Berselisih pendapat
bermaksud bersengketa atau tiada muafakat serta berpecah belah.
Manakala kepelbagaian
pendapat bermaksud berbagai-bagai atau bermacam cara.
Contohnya,
kepelbagaian pendapat para sahabat radiyallahu anh dan para ulama mazhab
terdahulu adalah berdasarkan pemahaman mereka dalam Al-Quran dan Hadis dan
semua pendapat mereka adalah benar.
"Manusia itu
adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para
nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab
yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang
mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang
yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri..." -
Surah Al Baqarah: Ayat 213
Tetapi, bukankah Allah
yang Maha Agung yang menciptakan jalan kefasikan dan ketakwaan? Mengapakah
Allah yang Maha Agung mencipta perselisihan pada hamba-Nya?
Perlu diingat segala
perkara yang manusia gelar sebagai kebaikan mahupun keburukan adalah datang
dari Allah yang Maha Agung, kebaikan adalah rahmat-Nya, keburukan juga
rahmat-Nya sebagai ujian pada manusia, seperti dalam,
"...Untuk
tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.
Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja),
tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka
berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu
semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan
itu, dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa
yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (iaitu
orang yang bersepakat membuat hukum sendiri dan meninggalkan Al-Quran dan
As-Sunnah)." - Surah Al-Maa'idah: Ayat 48-49
Ayat di atas juga
adalah satu perintah agar tetap berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah dan tidak
membuat keputusan berdasarkan logik yang terdorong oleh hawa nafsu semata-mata
terutama mengenai prinsip-prinsip Islam termasuk dari segi struktur
pemerintahan, perundangan, pendidikan, sistem kemasyarakatan, ekonomi dan
kerohanian.
Kecacatan salah satu
dari sistem tersebut bermakna keruntuhan tamadun atau khilafah Islam.
Ini bermakna, salah
satu cara asas dan umum bagi mewujudkan kembali khilafah Islam dan menyatukan
umat Islam adalah dengan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dengan
sebenar-benar pemahaman (pemahaman sahabat r.a., tabiin dan tabiut tabiin),
bukan pemahaman sendiri dan logik akal semata-mata, malah agama tidak didasari
dengan logik sepenuhnya kerana akal manusia terbatas.
04.Zalim dan Bodoh
"Sesungguhnya
Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka
semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan
mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia
itu amat zalim dan amat bodoh..." - Al Ahzab: Ayat 72
Amanat seperti ayat di
atas mengikut Tafsir Ibnu 'Abbas r.a bermaksud ketaatan atau perintah dan
larangan.
Sebelum ditawarkan
kepada Nabi Adam a.s, ditawarkan kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi
ditolak kerana takut melanggar perintah Allah yang Maha Agung. Setelah itu
Allah yang Maha Agung menawarkan kepada Nabi Adam a.s dan diterima oleh Nabi
Adam a.s. Firman-Nya kepada Nabi Adam a.s,'Jika engkau berbuat baik, engkau diberi
balasan, jika berbuat buruk, engkau akan disiksa.' - Rujukan tafsir Ibn
Katsir.
Maksud manusia menjadi
zalim dan bodoh kerana setelah tahu wujudnya syurga dan neraka, mereka tetap
mahu mencari jalan menuju ke neraka dan setelah nampak kebenaran mereka memilih
kesesatan. Mohon semoga Allah yang Maha Penyayang melindungi kita dari azab api
neraka. Hanya kepada Allah yang Maha Penyayang kita mohon pertolongan.
05.Mengeluh dan Kikir
"Sesungguhnya
manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir." - Surah
Al-Ma'aarij: Ayat 19
Dari Abu Hurairah r.a
: Rasulullah saw bersabda, "Seburuk-buruk perangai yang ada pada seseorang
ialah sifat bakhil lagi gelisah dan sifat pengecut lagi pasif."
Riwayat Imam Ahmad dan
Abu Daud, dinukil daripada tafsir Al-Munir.
Sebenarnya terlalu
banyak untuk diterangkan mengenai sikap dan perangai manusia serta sifatnya
seperti lemah, lalai, dengki, berbantah-bantah dan sebagainya.
Manakala sikap dan
perangai manusia yang baik adalah lawan pada keburukannya.
Kesimpulan
Bersyukur kita kepada
Allah yang Maha Agung yang telah menciptakan manusia dan menyempurnakannya.
Janganlah kita
melanggar fitrah yang telah ditetapkan kerana perlanggaran itu boleh membawa
kemudaratan yang besar pada manusia seperti yang terjadi pada umat Islam kini.
Semoga Allah yang Maha
Agung menyatukan umat Nabi Muhammad saw dan memenangkan kaum muslimin terhadap
orang-orang kafir. Segala puji-pujian bagi Allah yang Maha Agung.
"Dialah Allah
Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul
Husna. Bertasbih kepadaNya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha
Perkasa lagi Maha Bijaksana." - Surah Al-Hasyr: Ayat
24